fbpx

Banjir: Kerajaan Selangor sasar operasi pembersihan selesai Jumaat ini

Menurut Ng Sze Han (kanan), bagaimanapun, berkemungkinan operasi pembersihan akan mengalami kelewatan di beberapa kawasan kerana laluannya sukar untuk dimasuki kenderaan

PUCHONG: Kerajaan Selangor mensasarkan Jumaat ini untuk operasi pembersihan pasca banjir seluruh negeri selesai sepenuhnya.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, berkemungkinan operasi pembersihan akan mengalami kelewatan di beberapa kawasan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara itu, ini kerana terdapat kawasan yang sukar dimasuki lori-lori sampah seperti di Padang Jawa, Klang dan Kampung Batu 13, Puchong, kerana masih berselut dan digenangi air, selain ada kawasan yang kembali dinaiki air.

“Contoh pagi ini saya turun ke Padang Jawa tinjau kawasan tersebut dan kereta saya langsung tidak dapat masuk ke dalam. Saya harus berjalan, berapa ratus meter mungkin 500 (meter) baru dapat masuk ke kampung tersebut.

“Ini cabaran besar, walaupun lori sampah sudah sedia masuk, tapi kawasan sana memang sesak sangat. Semalam kami perlu bantuan polis untuk membuka jalan supaya lori dapat masuk. Ada kemungkinan kawasan ini seperti ini kita akan ada sedikit kelewatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas selesai meninjau operasi pembersihan dan pengangkutan sampah di kawasan yang terjejas dengan banjir, pagi ini.

Sze Han berkata, untuk kawasan-kawasan yang mungkin terjejas kerana faktor tersebut, beliau mengharapkan agar pada Jumaat ini ia dapat diselesaikan sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, setakat semalam, sebanyak 542 trip perjalanan lori sampah di bawah Kdeb Waste Management dilakukan dengan lebih 1,000 tan sampah diangkut keluar.

“Secara ringkas, sehingga semalam, satu hari untuk kutipan sampah pada 21 Disember, jumlah trip yang telah diadakan pada semalam adalah sebanyak 542 trip. Jumlah sampah yang telah diangkat oleh kontraktor dilantik kerajaan negeri sebanyak 1,000 tan.

“Jumlah tenaga kerja di tapak ketika ini 1,500 orang. Ini adalah satu ringkasan laporan untuk operasi semalam. Dan untuk hari ini, operasi pembersihan diteruskan di kawasan khususnya air telah surut dan di tempat kita dah kenal pasti, kontraktor ini akan masuk untuk melakukan kerja pembersihan ini,” kata Sze Han lagi.










Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts