fbpx

Elak kes meningkat, segerakan dos penggalak – KM

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) digesa mempercepatkan suntikan dos penggalak sekali gus mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang akhir Februari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata sehingga kini terdapat 100 klinik swasta, 10 pusat pemberian vaksin (PPV) Offsite dan program Outreach diadakan di seluruh daerah bagi mempercepatkan kadar suntikan dos penggalak.

“Adalah diyakini Pulau Pinang mampu mencapai sasaran ditetapkan KKM menjelang penghujung Februari ini.

“Turut ditekankan adalah tiada dasar ‘walk-in’ dibenarkan dan semua janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera bagi mengelakkan kesesakan di lokasi pemberian vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga dan terus berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan situasi penularan pandemik di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.

“Selain pemberian dos penggalak, saya juga mengarahkan JKNPP untuk terus menjalankan pemantauan situasi atau keadaan semasa meliputi trend penularan, kadar kebolehjangkitan (Rt) dan tempoh masa respons atau bertindak bagi mengelakkan peningkatan kes secara mendadak sehingga melumpuhkan sistem kesihatan negeri.

“JKNPP dan agensi berkaitan juga diminta bersedia dan memobilisasi segala kemudahan dalam menghadapi peningkatan kes khususnya membabitkan varian Omicron,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata terdapat beberapa ketetapan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 yang bersidang semalam.

“Antaranya, Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) akan terus diletakkan pada tahap siap siaga sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) serta Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara pandu lalu bagi Daerah Timur Laut.

“Selain itu, Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Jawi terus berperanan sebagai PKRC di negeri ini manakala Hotel Bahang Bay dan Vouk Suites Hotel berfungsi sebagai Stesen Kuarantin Swasta kepada pengembara baru pulang dari luar negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts