fbpx

Alia mahu manfaat peluang bersama Canyon

Sepang: Pelumba wanita muda negara, Siti Nur Alia Mansor yang berlepas ke Sepanyol malam tadi untuk menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team musim ini perlu membuktikan kemampuannya pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini.

Dia perlu menggunakan peluang itu untuk menimba pengalaman dan pulang ke negara ini dengan kejayaan terutama membantu pasukan berbasikal Terengganu di Sukma nanti.

Dibarisi pelumba profesional yang turut berpengalaman beraksi di Olimpik, Alia berkata, dia perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan di sana biarpun sebelum ini pernah berkampung di Melbourne bersama skuad trek negara.

“Mengikut syarat yang ditandatangani, saya perlu balik ke Malaysia untuk menyertai Sukma nanti.

“Tapi sebelum itu, saya dijadualkan akan menyertai satu perlumbaan sekitar bulan Mac nanti. Di situ nanti pasukan akan menilai tahap kemampuan sebenarnya pelumba dalam pasukan Canyon ini.

“Selain itu saya turut dimaklumkan mereka akan menilai prestasi dalam masa tujuh bulan ini dan jika bagus dari lapan pelumba itu, seorang akan layak ke pasukan elit. Bakinya akan teruskan kontrak sampai setahun,” katanya.

Pasukan berpangkalan di Sepanyol itu turut membariskan Ella Harris, Mikayla Harvey (New Zealand), Lisa Klein, Hanna Ludwiq (Britain), Katarzyna Niewiadoma (Poland), Alexis Ryan (Amerika Syarikat) dan Omer Shapira (Israel).

Mengulas mengenai sasarannya, pelumba berusia 21 tahun itu berharap akan dapat terus bersama pasukan kelima terbaik dunia seterusnya layak ke Olimpik Paris 2024.

“Saya akan berlumba dengan pelumba profesional. Kebanyakan daripada mereka adalah pelumba Olimpik.

“Memang berasa kerdil tapi inilah peluang saya untuk berlatih dan belajar dengan mereka dalam setahun ini. “Sebab kalau ada rezeki saya mahu ke Olimpik,” katanya yang akan diperkenalkan selaku pelumba pasukan dalam satu majlis rasmi di Sepanyol, Sabtu ini.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts