fbpx

Sijil vaksinasi palsu jejas integriti sistem kesihatan awam negara

SEJAK pandemik COVID-19 merebak ke negara ini, kerajaan merencana pelbagai strategi untuk menanganinya dengan antara terbesar ialah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Usaha besar-besaran ini menelan berbilion ringgit dengan pemberian vaksin kepada golongan dewasa dan remaja, manakala golongan seterusnya ialah kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, selain pemberian dos penggalak terhadap individu dewasa yang layak.

Pemberian vaksin besar-besaran dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, bertujuan memberi perlindungan kepada rakyat, sekali gus menurunkan jumlah kemasukan kes COVID-19 ke hospital dan bilangan kematian.

Ini berbeza dengan beberapa negara luar yang kadar vaksinasinya tidak meluas, malah tidak mengamalkan SOP dengan ketat seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan peningkatan kes selepas muncul varian baharu seperti Omicron.

Bagaimanapun di sebalik usaha kerajaan dan kerjasama serta pematuhan semua pihak itu, timbul pula isu pemberian sijil vaksinasi palsu yang sebenarnya boleh menggugat integriti sistem kesihatan kita.

Sebelum ini pun, sudah berlaku kes pemberian sijil palsu seperti sijil cuti sakit palsu dengan bayaran tertentu dikeluarkan kakitangan klinik tidak beretika, malah kadangkala ia berlarutan hingga beberapa tahun.

Ini bukan sahaja memberi nama buruk kepada klinik, bahkan kepada doktor dan petugas kesihatan. Dari aspek kualiti, sudah tentu ini menjejaskan angkat sumpah doktor yang berjanji untuk tidak menjejaskan nyawa, malah tidak berbohong semata-mata bagi kepentingan sendiri dengan bayaran.

Bagi pekerja yang mendapatkan sijil cuti sakit palsu pula, ia boleh mengakibatkan individu berkenaan dikenakan tindakan tatatertib, malah turut dibuang kerja.

Hakikatnya, sijil vaksinasi palsu boleh menjejaskan integriti kesihatan awam hingga menyebabkan rakyat tidak percaya terhadap tindakan kesihatan awam. Ini termasuk berkaitan pemberian vaksin dan liputan peratus pemberian vaksin ke penduduk, yang dilaksana hasil kerjasama klinik dilantik atau pembekal kesihatan swasta.

Contohnya, liputan vaksin dewasa dianggarkan dalam kadar mencecah setinggi 97 peratus. Jika isu pemberian sijil vaksinasi COVID-19 palsu, tentu ada pihak akan mempersoalkan apakah benar liputan pemberian vaksin setinggi 97 peratus hingga menimbulkan kesangsian pihak tertentu terhadap pencapaian sebenar Malaysia.

Apatah lagi dengan virus COVID-19 mudah merebak, mereka yang tidak menerima vaksin dan mengguna sijil vaksinasi palsu lebih mudah menjadi pembawa virus beberapa kali ganda berbanding mereka yang benar-benar selesai menerima vaksin lengkap. Dengan pemberian vaksin penggalak pula sekarang, kesahihan sijil vaksin penggalak diterima juga boleh terpalit sama.

Malah, ini juga boleh memberi kesan kepada integriti pada Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) negara kerana jika insiden sijil vaksinasi palsu banyak berlaku dan tidak ditangani segera, tidak mustahil negara seperti Singapura, Thailand serta Indonesia boleh membatalkan kebenaran masuk ke negara akibat kesangsian kesahihan sijil berkenaan atau meminta rakyat yang masuk untuk divaksin kembali atau diuji dengan ujian antibodi untuk kesahihan.

Begitu juga, apabila individu tidak divaksin ini masuk ke dalam komuniti, mereka berupaya menjadi punca jangkitan baharu di tempat kerja dan berpotensi mewujudkan kluster baharu akibat penyebaran virus, sekali gus mengakibatkan kluster tempat kerja baharu semakin banyak berlaku.

Selain aspek pembekal vaksin, isu permintaan juga antara sebab isu sijil vaksinasi dipalsukan dan dijual secara gelap. Ada segelintir rakyat sanggup membeli dengan harga ribuan ringgit untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu untuk dapat memasuki tempat kerja dan tempat bertugas. Permintaan tinggi di pasaran untuk bekalan sijil vaksinasi palsu ini menjadi sebab pengeluaran sijil berkenaan meningkat dan semakin membimbangkan.

Justeru, kerajaan disyorkan untuk menubuhkan jawatankuasa audit untuk melihat sejauh mana isu ini berlaku di negara.

Sekiranya ia berleluasa, maka semakan semula semua pembekal vaksin pusat pemberian vaksin (PPV) sangat digalakkan. Audit ini digalakkan di beberapa negeri tertentu yang memperlihatkan trend peningkatan kes COVID-19 baharu walaupun sudah berjaya mencapai sasaran liputan vaksin meluas.

Ini kerana sepatutnya negeri mencapai liputan vaksin tinggi, bilangan kes baharu COVID-19 sepatutnya akan menurun dan bukan sebaliknya. Bagaimanapun, peningkatan ini tentunya turut disebabkan faktor lain termasuk keberkesanan vaksin, peratus penduduk terjejas dengan komorbiditi kesihatan, kemasukan warga asing dan liputan penerimaan dos penggalak diterima.

Tindakan undang-undang tegas dan berat juga perlu dikenakan terhadap petugas perubatan jika sabit kesalahan kerana pemberian sijil vaksinasi palsu menjejaskan keselamatan awam.

Ini kerana kegiatan mereka menyebabkan virus lebih cepat merebak tanpa dapat dikesan lebih awal, manakala individu terbabit dan mereka yang dijangkiti berdepan risiko termasuk kematian.

Oleh itu, selain hukuman penjara dan denda, penarikan kebenaran doktor untuk beroperasi melalui penarikan sijil kebenaran praktis tahunan doktor boleh dipertimbangkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Ini perlu dilaksana untuk mengelakkan orang ramai mencari jalan mudah yang tidak sah dan akhirnya menjejaskan usaha vaksinasi negara melawan wabak COVID-19.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts