fbpx

Papan iklan haram: Agensi pengiklanan diminta tampil mohon permit

ANTARA papan iklan tidak berlesen yang ditampal notis dalam satu operasi MBS di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seremban, baru-baru ini.– IHSAN MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN

SEREMBAN: Susulan isu papan iklan (billboard) tanpa lesen dan permit yang berada di sepanjang lebuh raya di bandar ini, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menggesa kesemua syarikat dan agensi pengiklanan terlibat untuk tampil menyelesaikannya.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, walaupun pihaknya mempunyai kuasa untuk menurun dan merobohkan papan iklan itu, namun MBS lebih ke arah lebih tertib supaya agensi dan syarikat terlibat memohon permit dan membuat pembayaran yang sepatutnya bagi setiap pemasangan iklan berkenaan.

“Saya lihat ada reaksi sangat positif, ada agensi pengiklanan sudah pun datang kepada MBS untuk selesaikan bayaran-bayaran sepatutnya. Kami tidaklah sampai mahu turunkan billboard secara paksa atau robohkan, tetapi kami rasa dengan kaedah begini, mereka akan datang.

“Kami juga akan hubungi agensi pengiklanan ini yang belum lagi tampil, kami akan minta syarikat berkenaan supaya mereka melaksanakan kewajipan mereka dengan memohon permit iklan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Kempen Bagi Bayaran Cukai Taksiran Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Sehingga 30 Jun 2022 di Wisma MBS di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Online melaporkan sebanyak 100 papan iklan (billboard) di tepi Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) telah ditampal notis tanpa lesen dan permit oleh pihak MBS dalam operasi yang diadakan pada 13 Januari sehingga 19 Januari lalu.

Dalam pada itu, tambah Masri, walaupun terdapat kerugian hasil di peringkat MBS apabila syarikat dan agensi pengiklanan ini tidak mendapatkan lesen dan permit iklan tersebut namun isu keselamatan adalah lebih dititik beratkan oleh pihaknya.

“Apa yang lebih penting, bukan isu kerugian tetapi adalah isu keselamatan, kalau tiada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kami boleh persoalkan daripada segi keselamatan struktur, sebab kalau mahu dapatkan kelulusan, kami akan minta mereka dapatkan dahulu kelulusan untuk bina bangunan itu.

“Kami perlu pastikan struktur itu kukuh atau tidak, tempat itu sesuai atau tidak, adakah emreka menceroboh tanah persendirian, itu lebih penting. 

“Kerugian di pihak MBS tidaklah signifikan, tetapi lebih penting keselamatan, kalau di lebuh raya itu struktur tidak kukuh, kalau ia melayang masuk ke dalam lebuh raya, ia akan jadi isu besar,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, MBS menjangkakan mulai tahun 2023 edaran bil kepada akaun pembayar cukai tidak lagi secara fizikal (kertas) sebaliknya diedarkan menerusi e-mel dan secara dalam talian.





Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts