fbpx

Belian panik jejas bekalan telur di Terengganu – Pemborong

KUALA TERENGGANU: Pembelian panik oleh pengguna dikenal pasti antara punca utama masalah kekurangan bekalan telur ayam pada peringkat peruncitan di negeri ini.

Ia susulan sebahagian masyarakat dipercayai terpengaruh dengan dakwaan tular melalui media sosial bahawa negeri ini akan berdepan krisis bekalan telur.

Tinjauan ke beberapa syarikat pemborong mendapati telur masih dibekalkan dalam pasaran walaupun pengeluar memotong bilangan tempahan diterima.

Pengurus syarikat pemborong telur, Jason Tan, berkata pihaknya mengedarkan 12,000 papan mengandungi 360,000 biji telur ayam pelbagai saiz kepada peruncit, setiap minggu.

Beliau menjelaskan, pengedaran telur pada peringkat peruncitan termasuk ke pasar raya bagaimanapun tidak dilakukan secara sekali gus, sebaliknya dihantar secara berperingkat setiap hari.

“Kaedah penghantaran bekalan telur secara berperingkat setiap hari dilakukan bagi mengelakkan masalah ketiadaan telur.

“Kita memutuskan untuk tidak menghantar bekalan telur sekali gus, sebaliknya dibahagikan mengikut pesanan dengan penghantaran dilakukan setiap hari,” katanya kepada media di gudang syarikat itu di Kampung Gong Kiat, Kepong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jason berkata, kaedah penghantaran setiap hari dilakukan bagi memastikan bekalan telur sentiasa ada pada peringkat peruncitan.

Namun, beliau mengakui bekalan telur ayam terjejas berikutan pengeluar memotong bilangan tempahan diterima.

“Kami memesan telur ayam daripada beberapa syarikat pengeluar utama membabitkan sebanyak 15,000 papan mengandungi 450,000 biji seminggu.

“Namun, syarikat pengeluar hanya menghantar 12,000 papan mengandungi 360,000 biji telur seminggu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya juga terpaksa memotong bilangan tempahan oleh pengusaha pasar raya dan pada peringkat peruncitan.

“Jika dinilai dengan jumlah penghantaran setiap minggu, tiada masalah bekalan telur pada peringkat peruncitan.

“Namun, pembelian panik oleh masyarakat adalah punca utama bekalan telur terjejas dan tidak mencukupi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts