fbpx

Tentera Darat perketat kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan

KUCHING: Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula sempadan negara yang dicadangkan bermula 1 Mac depan.

Selain bimbang keselamatan sempadan dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti jenayah rentas sempadan, kawalan ketat juga perlu dilaksanakan bagi mengelak lonjakan kes jangkitan COVID-19.

Jurucakap PMTTD dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya akan memastikan kehadiran anggota tentera dengan mengekalkan penempatan di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Pelaksanaan rondaan berkala, serang tangkap, pengawasan serta pemerhatian dan melakukan pemeriksaan serta pengawalan di kawasan tanggungjawab bagi menghalang sebarang bentuk ancaman keselamatan, mencegah penyeludupan, kemasukan PATI serta aktiviti-aktiviti lintas batas di sempadan akan dipergiatkan,” katanya.

Bagi memastikan kawalan sempadan berada pada tahap terbaik, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad bersama Panglima 3 Briged Infantri, Brig Jen Mohd Kamil Abdul Latiff melawat Pos Kawalan Sempadan Serikin di Bau, baru-baru ini.

“Lawatan itu juga bagi meninjau tahap kesiagaan pasukan yang sedang terbabit dalam operasi kawalan sempadan,” kata PMTTD sambil menambah, mereka turut meninjau pojek pembinaan Pos Padang Pan yang bermula sejak 17 Mei tahun lalu dengan kos RM 6 juta dilaksanakan oleh 3 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Menurut PMTTD, sepanjang tahun lalu, pihaknya mencatat kejayaan memberangsangkan dalam tugas mengawal sempadan negara apabila merampas barang cuba diseludup bernilai RM23.7 juta dengan 1,534 PATI ditangkap, 669 diusir dan 50 penyeludup ditahan.

“Kejayaan ini menunjukkan kesiagaan mapan warga PMTTD dalam tekad mengekalkan integriti di sempadan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts