fbpx

1 daripada 9 wanita hidap kanser

KUALA LUMPUR: Dianggarkan satu daripada 10 lelaki, manakala satu daripada sembilan wanita di negara ini berkemungkinan menghidap penyakit kanser, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, unjuran itu berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) yang melaporkan peningkatan sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes kanser bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes pada 2007 hingga 2011.

Selain itu, katanya, sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kes kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu Tahap 3 dan 4 serta memerlukan kos rawatan tinggi dan peluang untuk sembuh lebih rendah berbanding jika ia dikesan pada tahap awal.

Beliau berkata, kematian akibat kanser adalah sebab utama kematian di hospital swasta iaitu 34.95 peratus, manakala punca kematian keempat di hospital KKM iaitu 11.56 peratus.

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di negara ini ialah kanser kolorektal iaitu 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus), manakala bagi wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

“Kanser juga adalah antara 10 sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital, masing-masing 5.17 peratus di hospital KKM dan 5.37 peratus bagi hospital swasta.

“Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan pada 2020, apabila jumlah semua kematian akibat kanser digabungkan, ia menyumbang sebanyak 14.8 peratus daripada keseluruhan kematian, menjadikan kanser sebagai penyebab kematian kedua penting selepas penyakit jantung Ischemic Heart Disease (17 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 serta pelancaran buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Pengarah IKN, Dr Mohd Anis Haron@Harun; Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Datuk Dr Saunthari Somasundram dan Pengerusi Malaysian Cancer Care Coalition, Dr Sanjeev Kumar Panchal.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts