fbpx

UiTM tangguh istiadat konvokesyen

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-93 universiti itu yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac ini susulan peningkatan kes jangkitan harian COVID-19.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, keputusan penangguhan berkenaan dibuat selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) yang diadakan semalam.

“Melalui Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) semalam, pihak universiti bersetuju untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac 2022 yang membabitkan seramai 27,287 graduan.

“Penangguhan ini membabitkan UiTM Shah Alam, UiTM Cawangan Sarawak serta UiTM Cawangan Sabah dan Istiadat Konvokesyen ini dijangka akan dilaksanakan pada Jun hingga Julai 2022.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berikutan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 secara mendadak di seluruh negara yang amat membimbangkan pihak universiti,” tulis kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penangguhan itu juga mengambil kira keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan graduan serta semua warga universiti.

“Pihak pengurusan UiTM memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh graduan dan ibu bapa serta turut berasa kesal dengan situasi yang di luar kawalan ini dan amat menghargai kefahaman, sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini.

“Maklumat terkini mengenai penangguhan pelaksanaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 boleh dirujuk di laman sesawang konvokesyen.uitm.edu.my atau menghubungi 03-55443110 atau 03-55443114.

“UiTM akan terus memantau perkembangan wabak ini serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts