fbpx

Siasatan kes suami Zeti, PDRM tunggu ‘lampu hijau’ dari Singapura

PDRM's logo (photo for archive ) AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman, yang juga suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaun miliknya di Singapura, sudah selesai.

Bagaimanapun, PDRM diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan dokumen berkaitan transaksi dijalankan melalui beberapa institusi kewangan di Singapura dan keterangan saksi di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kertas siasatan yang lengkap sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara, sejak tahun lalu.

“Kita sudah serahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara beberapa kali dan dipulangkan semula untuk kita melengkapkan lagi kertas siasatan itu.

“Ini termasuk arahan supaya mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan serta mengambil keterangan daripada saksi di Singapura,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, pihaknya kini sedang menunggu kebenaran dari pihak berkuasa Singapura berkenaan perkara itu.

“Untuk makluman, siasatan yang kita jalankan di peringkat PDRM sudah selesai dan sudah rujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara

“Arahan yang kita terima adalah untuk mendapatkan dokumen dan keterangan saksi yang berada di luar negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PDRM masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada negara itu untuk pihaknya pergi ke sana bagi mengambil keterangan daripada saksi berkaitan.

“Kita sudah beberapa kali berhubung dengan Singapura dan setakat ini, belum dapat lagi ‘lampu hijau’ kerana perkara ini membabitkan dokumen dan juga keterangan saksi.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke sana untuk ambil (dokumen dan keterangan saksi) tanpa kebenaran ataupun bantuan dari negara berkenaan,” katanya.

Ini kerana, katanya, ia membabitkan transaksi melalui beberapa institusi kewangan dan pihaknya perlu mengambil keterangan daripada institusi kewangan terbabit.

Pada Mac tahun lalu, JSJK Bukit Aman mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap suami Zeti berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB itu.

Bekas pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan terhadap Tawfiq dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, siasatan kes ini membabitkan keterangan di Malaysia dan luar negara, justeru PDRM sedang mengambil tindakan susulan mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts