fbpx

Kerajaan masih kaji kesesuaian laksana kembali GST – MoF

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta model cukai kepenggunaan yang lain, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut MoF, kajian itu mengambil kira semua aspek termasuklah kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada 2015.

“Kajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap,” kata kementerian dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) sama ada kerajaan berhasrat untuk mengembalikan pelaksanaan GST.

Kata MoF, cukai baharu terbabit, jika dilaksanakan, juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Menurut kementerian, ekonomi negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan yang baharu perlu mengambil kira senario semasa.

“Di samping itu, ia juga memberi ruang bagi persiapan dan persediaan yang rapi di kedua-dua pihak kerajaan dan pembayar cukai,” kata MoF.

Sementara itu, kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerajaan Persekutuan bagi 2021 adalah sebanyak RM25.48 bilion, yang terdiri daripada RM13.49 bilion daripada Cukai Jualan dan RM11.99 bilion daripada Cukai Perkhidmatan.

Pada 2020, SST yang dikutip berjumlah RM25.25 bilion merangkumi RM13.24 bilion daripada Cukai Jualan dan RM12.01 bilion daripada Cukai Perkhidmatan. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts