fbpx

Malaysia iktiraf sijil vaksinasi Vietnam sempena pembukaan sempadan bulan depan

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi dari Vietnam secara timbal balas selepas negara itu turut melakukan tindakan sama pada Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia diputuskan selepas pihaknya melakukan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Vietnam, Pham Minh Chinh, melalui lawatan ke negara itu sejak Ahad lalu.

Mengulas lanjut, katanya, kedua-dua negara juga bersetuju mengadakan integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia bersama PC COVID Vietnam.

“Vietnam sudah membuka sempadan antarabangsa mereka pada 15 Mac, manakala Malaysia juga membuat keputusan untuk membuka sempadan Malaysia dan beralih kepada fasa endemik bermula 1 April ini.

“Justeru, saya mengutarakan beberapa inisiatif kerjasama baharu di samping meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

“Dalam aspek vaksinasi, Malaysia bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi dari Vietnam bukan sahaja berdasarkan kepada amalan timbal balas, tetapi mengambil kira yang negara itu turut menggunakan jenis vaksin COVID-19 yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam nota percakapan sidang media sempena lawatan rasmi ke Vietnam.

Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Vietnam sejak Ahad lalu itu mencerminkan kepentingan hubungan dua negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN, dengan kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2023.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, bagi memperingati ulang tahun itu, beliau turut mencadangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi negara itu,  yang akan dimulai lawatan negara Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Malaysia dalam tahun ini.

https://play.google.com/store/apps/details?id=com.mic.bluezone&hl=en&gl=US

“Dalam usaha untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia–Vietnam, saya menggariskan pendekatan yang menyeluruh dalam hubungan antara kedua-dua negara, baik di peringkat kerajaan mahupun di peringkat masyarakat perniagaan, serta juga hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vietnam sangat komited untuk terus melaksanakan kerjasama yang terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021 hingga 2025 Pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia dan Vietnam.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts