fbpx

‘Kes pemilikan saham Azam Baki sudah selesai’

AZAM BAKI

KUALA LUMPUR: Isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi pemilikan sahamnya, sudah selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia selepas Azam disiasat beberapa badan dan jawatankuasa.

Beliau berkata, antara pihak sudah menjalankan siasatan terhadap Azam termasuk Suruhanjaya Sekuriti (SC), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Mencegah Rasuah Parlimen (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA).

Sehubungan itu, katanya, isu pemilikan saham itu tidak perlu lagi dipertikaikan, selain sebarang kenyataan mengenainya boleh menimbulkan subjudis kerana kes berkaitan sudah di peringkat mahkamah.

“Isu saham yang di pertikaikan banyak pihak daripada parti pembangkang sebenarnya sudah selesai. Isu ini juga sudah diputuskan dan tiada kes oleh inkuiri pihak SC.

“Menerusi satu kenyataan pada 18 Januari lalu, SC menjelaskan sudah menyelesaikan siasatan berdasarkan bukti dikumpul dan tidak dapat memastikan secara muktamad jika terdapat pelanggaran mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (SICDA) sudah berlaku.

“Susulan itu, tiada keperluan lagi isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ini dipertikaikan.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM juga sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau dan kes sedang dalam peringkat mahkamah, sebarang ulasan kes ini akan menimbulkan subjudis,” katanya dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan berapa agensi penguat kuasa sudah atau sedang menyiasat Azam berhubung isu pemilikan saham dan status terkini siasatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak melindungi individu tertentu atau mengambil tindakan terhadap pihak tertentu hanya semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

Beliau memberi jaminan sesiapa yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan, dan mahkamah akan menentukan sama ada individu berkenaan bersalah atau sebaliknya.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima keputusan SC yang menjelaskan tidak ada kes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung akaun dagangan miliknya dan keputusan hasil siasatan SC perlu menjadi panduan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts