fbpx

Guru rugi RM32,700 ditipu ‘pegawai LHDN’

PORT DICKSON: Seorang guru sebuah sekolah menengah terkedu apabila wang simpanan berjumlah RM32,700 lesap selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed, berkata mangsa seorang wanita berusia 37 tahun yang bertugas sebagai guru di Port Dickson telah menerima panggilan telefon daripada individu, memperkenalkan diri dengan nama ‘Puan Ivan’ daripada LHDN.

“Mangsa dimaklumkan individu itu terdapat tunggakan cukai berjumlah RM38, 800.82 atas syarikat yang didaftarkan atas namanya beralamat di Cyberjaya.

“Mangsa menafikan perkara ini sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai polis berpangkat Sarjan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. Kali ini mangsa dimaklumkan akaun mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, penyeludupan dadah dan waran tangkap sudah pun dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, panggilan seterusnya disambungkan kepada Asisten Superitendan (ASP) Datuk Zul, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan mangsa diberikan pautan untuk memuat naik aplikasi MyBNM untuk tujuan membersihkan nama.

Katanya, mangsa yang panik terus mengisi maklumat perbankan akaun Maybank miliknya seperti nombor kad mesin pengeluaran wang (ATM), nombor akaun nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian bank itu.

“Mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati sudah mengalami kerugian sebanyak RM32,700 daripada akaun miliknya yang dipindahkan dalam lima transaksi kepada satu akaun individu tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya terus hadir ke balai polis pada hari yang sama untuk membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

“Selain itu, mereka juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran,” katanya lagi.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts