fbpx

Saya tak sabar – Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih belum berpuas hati dengan tahap prestasinya biarpun sudah berjaya memenuhi sasaran peribadi untuk bergelar pemain nombor dua dunia sebelum hujung tahun ini.

Zii Jia, 24, melonjak satu anak tangga untuk berada di kedudukan nombor dua dunia selepas muncul naib juara Terbuka Denmark di Odense, Ahad lalu.

Dia terlepas gelaran juara selepas tunduk di tangan pemain China, Shi Yu Qi pada aksi final.

Bagaimanapun, hanya dua hari selepas aksi final di Odense, juara Asia itu berdepan tamparan apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris susulan kekalahan di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 18-21, kelmarin.

Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Zii Jia di tangan lawan berkenaan yang turut menewaskannya ketika pusingan kedua Terbuka Malaysia, Jun lalu.

Susulan kekalahan di tangan Rhustavito, Zii Jia, berkata: “Saya banyak melakukan kesilapan mudah dan tidak mempunyai tahap kesabaran yang diperlukan.

“Biarpun saya kini bergelar pemain nombor dua dunia, saya tidak berpuas hati dengan pencapaian sekarang. Saya masih berusaha untuk memperbaiki kelemahan kerana ada sebahagian dalam permainan saya yang perlu dipertingkatkan untuk berada di tahap lebih tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Zii Jia terkandas di pusingan pertama Terbuka Perancis selepas edisi 2019 dan 2021.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kekalahan berkenaan ada kaitan dengan hal peribadi yang dialaminya selepas datuknya dilaporkan meninggal dunia, Isnin lalu.

Zii Jia dijadual beraksi dalam dua lagi kejohanan selepas ini iaitu Terbuka Hylo di Jerman bermula 1 hingga 6 November diikuti Terbuka Australia 15 hingga 20 November tetapi belum dapat dipastikan pemain berkenaan akan menyertai kedua-dua kejohanan itu selepas berita pemergian datuknya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts