fbpx

LRT laluan Ampang Park-Kelana Jaya, kembali beroperasi sepenuhnya esok

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Stesen Ampang Park hingga Stesen Kelana Jaya, akan kembali dibuka sepenuhnya bermula jam 6 pagi esok.

Secara keseluruhan, perkhidmatan laluan dari arah Stesen LRT Gombak ke Stesen Putra Height (hujung ke hujung) akan beroperasi bermula jam 6 pagi esok, dua hari lebih awal daripada jangkaan, selepas perkhidmatan tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) sejak Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata berdasarkan tinjauannya selepas menyertai sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT, sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

“Saya baru menaiki tren LRT sebagai sebahagian daripada sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan. Saya amat berpuas hati dengan analisis ke atas ujian meluas yang dijalankan.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik ATC dan mengisytiharkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong, berkata selain APAD, sesi ujian malam tadi sehingga awal pagi ini turut disertai Bahagian Penguat kuasa Rel (RED) dan Bahagian Perancangan (REL).

“Meskipun sistem ATC disahkan stabil, pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.

“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian. Saya juga telah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas perantara di stesen hot spot sebagai langkah persediaan,” katanya.

Katanya, seperti dinyatakan pada sidang media 11 November lalu, beliau telah meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah sama tidak berulang dan kepada pengguna yang terjejas, pampasan tiket mengikut bilangan hari yang terjejas akan diberikan.

“Saya berterima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan semua pihak yang terbabit, bertungkus-lumus 24 jam sehari, membaiki dan memulihkan sistem sejak hari pertama kejadian. Terima kasih juga kepada seluruh warga Rapid Bus, Smart Selangor dan Mara Liner yang menyediakan lebih 100 bas perantara percuma setiap hari.

“Tidak lupa juga terima kasih atas usaha sebahagian warga kota yang membantu menyediakan ‘shuttle’ percuma menerusi media sosial dengan kenderaan sendiri mengangkut penumpang dari stesen LRT ke destinasi mereka. Usaha ini amat dipuji dan bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts