fbpx

Telur ayam kurang di Johor sebab eksport ke Singapura

Photo: Henk Riswick

Iskandar Puteri: Isu kekurangan bekalan telur ayam di Johor disebabkan permintaan eksport ke Singapura selain dihantar ke pasaran di Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, Johor tidak mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam yang kritikal ketika ini.

“Johor sebenarnya tidak menghadapi kekurangan kritikal, bekalan memang kurang tetapi tidak kritikal sebab Johor adalah antara pengeluar telur ayam dalam negara.

“Cuma kita maklum kebanyakan dieksport ke Singapura dan negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, sebab itu nampak kekurangan.

“Bagaimanapun daripada segi pengeluaran tidaklah berkurangan, cuma permintaan lebih sebab perlu penuhi eksport,” katanya ketika sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail (HSI) Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Zahari berkata, pihaknya juga akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju dan perancangan negeri berkaitan bidang pertanian.

“Berkaitan isu bekalan telur, saya yakin Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dijangka memberi kenyataan berkaitan keadaan semasa,” katanya.

Semalam media melaporkan dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan pada harga yang lebih rendah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Mohamad Sabu menyatakan antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain akan memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts