fbpx

Kes Bella: Mahkamah Tinggi benar Siti Bainun tangguh bela diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan perbicaraan bela diri selama dua hari bermula esok.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, penangguhan itu sementara menunggu keputusan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan oleh Siti Bainun atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan ‘sindrom down’ dikenali Bella.

“Saya tetapkan 13 Januari ini untuk keputusan bantahan awal terbabit,” katanya.

Terdahulu, peguam mewakili Siti Bainun, P G Cyril, berkata hakim mempunyai budi bicara untuk menerima semakan itu atau sebaliknya dan pihaknya bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan berhubung alasan permohonan berkenaan.

“Pembelaan juga perlu memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Sesyen hari ini kerana bicara bela diri bermula esok. Sebab itu kami mohon ia digantung sementara,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad membantah penangguhan itu mengikut afidavit jawapan difailkan sebelum ini dan salinan hujahan bertulis yang sudah diserahkan kepada pihak berkaitan.

Susulan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, ketika sebutan kes hari ini, melapangkan prosiding bela diri oleh Siti Bainun pada tarikh yang dijadualkan sebelum ini.

Izralizam kemudian menetapkan 13 Januari untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan Mahkamah Sesyen mengenai perkembangan perkara itu.

“Pihak-pihak boleh datang ke Mahkamah Sesyen selepas selesai prosiding di Mahkamah Tinggi. Pada 16 Januari ini adalah tarikh terdekat untuk bicara bela diri selepas 6 Januari.

“Semua pihak juga perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai lima isu, termasuk panggil semula saksi pendakwaan, panggil saksi lain yang ditawarkan oleh pendakwaan kepada pembelaan dan pernyataan saksi Siti Bainun,” katanya.

Antara saksi dipanggil semula adalah penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar bedah plastik; Dr Salmi Mohamed Shukur dan Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac.

Seorang lagi peguam mewakili Siti Bainun, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, pula mengesahkan bantahan awal yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 1 Disember lalu diserahkan kepada pihaknya empat hari selepas itu.

Dalam notis usul difailkan 30 November lalu yang menamakan pendakwa raya selaku responden, Siti Bainun memohon menyemak dua pertuduhan kerana mendakwa hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan pertuduhan disifatkan defektif atau cacat dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

Pengasas Rumah Bonda itu juga mendakwa perintah hakim itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November lalu adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.

Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan yang bermula 30 Mac 2022.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts