fbpx

Gesa menteri campur tangan isu feri Langkawi

UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Langkawi: Penggiat sektor pelancongan tempatan mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, campur tangan dalam isu kekurangan perjalanan perkhidmatan feri ke pulau itu.

Desakan itu disuarakan 13 individu yang menamakan kumpulan mereka sebagai Pemain Industri 13 (PI13) yang mahu isu yang berlarutan sejak sekian lama, diselesaikan dalam kadar segera.

Jurucakap kumpulan itu, Datuk Norazly Rosly, berkata ketika ini, purata perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi hanya 10 perjalanan sehari.

“Kami kecewa kerana perjalanan feri dari Kuala Kedah cuma lima dan dari Kuala Perlis juga lima, perkhidmatan sama pernah menawarkan sehingga 10 perjalanan sehari dari dua pintu masuk itu sebelum ini.

“Kekurangan perjalanan bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi tidak patut berlaku kerana kerja pengerukan alur pelayaran yang didakwa cetek selesai Disember lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Norazly berkata, masalah kekurangan perjalanan feri memberi impak besar kepada sektor pelancongan Langkawi kerana perkhidmatan itu menjadi pilihan utama pelancong di Semenanjung masuk ke Langkawi.

Katanya, masalah turut dialami kepada penduduk tempatan Langkawi apabila mereka semakin sukar mendapatkan tiket feri untuk berulang alik ke tanah besar seperti sebelum ini.

“Berikutan itu, kami mendesak menteri dan Kementerian Pengangkutan segera campur tangan dan menubuhkan Jawatankuasa Khas menangani isu ini bagi memastikan industri pelancongan Langkawi tidak terkubur.

“Jawatankuasa itu juga boleh mengkaji kesesuaian dan keperluan bagi kerajaan membina jambatan atau landasan kereta api menghubungkan Langkawi ke tanah besar,” katanya.

Sebelum ini, berlaku masalah dalam perkhidmatan feri berikutan terminal feri di Kuala Kedah dan Kuala Perlis mengalami masalah air cetek menyebabkan feri hanya boleh beroperasi ketika tempoh air pasang saja.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku kejadian feri terkandas selain turut berlaku penumpang terpaksa menunggu berjam-jam sehingga air pasang bagi membolehkan feri berlabuh di jeti.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts