fbpx

Mesyuarat WHO 27 Januari ini putuskan status COVID-19

GENEVA: Jawatankuasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan bermesyuarat pada 27 Januari ini untuk mempertimbangkan sama ada pandemik COVID-19 masih dianggap kecemasan global tiga tahun selepas ia kali pertama diisytiharkan.

Jurucakap WHO, Carla Drysdale, mengesahkan tarikh pertemuan itu pada taklimat berita di Geneva baru-baru ini.

Jawatankuasa Kecemasan menasihati Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang akan memutuskan secara muktamad sama ada wabak itu disifatkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

Ia adalah tahap amaran tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pendemik COVID-19 yang kini kembali mencatatkan peningkatan kes dan kemunculan varian baharu.

Beberapa saintis terkemuka dan penasihat WHO berkata mungkin terlalu awal untuk mengisytiharkan berakhirnya fasa kecemasan pandemik COVID-19 kerana tahap jangkitan yang tinggi di China, selepas dasar ‘Sifar COVID-19’ dilonggarkan.

Dalam pada itu, WHO berkata coronavirus varian XBB.1.5 adalah antara faktor utama lonjakan kes COVID-19 global sekarang dan akan terus menyumbang kepada peningkatannya.

“Berdasarkan ciri-ciri genetiknya dan kadar pertumbuhan awal, XBB.1.5 mungkin menjadi penyumbang utama kadar jangkitan,” kata WHO dalam kenyataan selepas mesyuarat teknikal pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, data berkenaan tidak diberi tumpuan kerana sebahagian besarnya hanya dibekalkan oleh satu negara iaitu Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan 80 peratus penjujukan genom.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan AS semalam melanjutkan status pandemik COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam untuk membolehkan berjuta-juta rakyat terus menerima ujian, vaksin dan rawatan percuma.

Darurat pertama kali diisytiharkan pada Januari 2020, apabila wabak COVID-19 bermula dan ia sudah diperbaharui setiap suku tahun sejak itu dan ia sepatutnya berakhir minggu ini.

Sejak awal penggal Presiden AS, Joe Biden, peningkatan ketersediaan vaksin dan ubat-ubatan secara ketara mengurangkan jangkitan COVID-19, yang pada peringkat awalnya meragut purata 3,000 nyawa rakyat AS setiap hari.

Namun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, kini ratusan orang masih mati akibat COVID-19 di AS setiap hari.

Data kes harian di AS, walaupun jauh lebih rendah berbanding lonjakan varian Omicron pada Januari tahun lalu, data terkini CDC menunjukkan kes harian AS kini meningkat kepada purata lebih 67,000 kes setakat 4 Januari, dengan kira-kira 390 kematian berkaitan COVID-19 sehari.

November lalu, pihak pentadbiran Biden berkata lonjakan kes kemungkinan berlaku pada musim sejuk dan keperluan untuk memanjangkan tempoh peralihan penjualan ujian saringan, vaksin dan rawatan kepada pihak swasta adalah antara dua faktor menyumbang kepada keputusan tidak menamatkan status kecemasan pada Januari ini. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts