fbpx

Selangor akan teliti wajibkan pelitup muka jika kes COVID-19 meningkat

SHAH ALAM: Selangor mungkin akan meneliti untuk mewajibkan pemakaian semula pelitup muka dan penjarakan fizikal sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun, berkata perkara itu bergantung kepada peningkatan statistik dan jumlah kes COVID-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita tengok (jumlah) kes, sekarang kita sedang memantau kes COVID-19 dari bulan ke bulan dan juga minggu ke minggu.

‘Kalau ada kemerebakan yang besar, mungkin kita akan ambil tindakan selanjutnya…itu maksudnya penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, jadi kita kena bersedia.

“Aplikasi SELangkah sudah bersedia (dalam mengenalpasti individu yang dijangkiti pandemik berkenaan),” katanya pada sidang selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Pusat Prasekolah ANIS, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Justeru, Amirudin amat menggalakkan orang ramai agar segera mengambil suntikan dos penggalak, sama ada yang pertama atau kedua memandangkan penerima suntikan itu masih rendah di Selangor.

“Kita kena pergiatkan dos penggalak, terutama dos penggalak pertama. Masyarakat perlu menerima hakikat bahawa mereka wajib dilindungi sepenuhnya kerana COVID-19 akan berlarutan dalam jangka masa panjang terutama kemunculan varian baharu,” katanya.

Pada masa sama, katanya penjaja dan pengusaha restoran di Selangor dibenarkan memakai sebarang jenis pelitup muka bersesuaian ketika mengendalikan makanan dan minuman di premis mereka.

“Saya memahami mungkin ada kekeliruan mengenai penetapan baharu yang dikeluarkan bermula awal bulan ini.

“Namun, apa yang penting mereka perlu memakai pelitup muka ketika memasak dan menyediakan makanan bagi mengelak sebarang penyebaran kuman atau penyakit,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts