fbpx

6 ditahan SPRM, buat tuntutan palsu

Putrajaya: Tamak haloba menyebabkan ada kakitangan kerajaan dan kontraktor dilantik menipu menggunakan taktik serahan dokumen tuntutan palsu bagi projek kerajaan tidak dilaksanakan.

Terbaru pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengawai penguat kuasa sebuah agensi dan seorang pengurus syarikat swasta kerana dipercayai menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja perkhidmatan dan pembaikan bangunan di sebuah daerah di Sarawak pada tahun 2019.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sarawak kelmarin.

Katanya, suspek pertama yang juga seorang pengurus syarikat berusia 30-an ditahan kira-kira jam 3.30 petang di pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala suspek kedua dan ketiga yang juga pegawai penguat kuasa ditahan di pejabat SPRM Kuching kira-kira jam 3.15 petang.

Menurutnya, pengurus syarikat itu dipercayai bersubahat dengan pegawai penguat kuasa itu untuk mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM20,000 sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Dalam satu lagi kes berasingan, SPRM menahan tiga individu termasuk dua ahli perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan negeri bernilai kira-kira RM1.5 juta pada tahun 2020 dan 2021.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 50 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam kelmarin, ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kuching.

Katanya, syarikat itu disyaki terbabit dalam menyediakan kerja pembekalan makanan haiwan dan akuakultur kepada agensi itu namun perkhidmatan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts