fbpx

Lapangan Terbang Subang jadi hab serantau

SUBANG: Kerajaan meluluskan pelan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal melonjakkan status lapangan terbang itu menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan pilihan di Asia Pasifik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kelulusan itu diputuskan Kabinet pada Khamis lalu, selepas beliau membentangkan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang dibangunkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Katanya, SARP dijangka mengubah status LTSAAS menjadi hab penerbangan serantau dan meningkatkan kapasiti semasa lapangan terbang itu kepada lapan juta penumpang setahun, sekali gus menjadi pelengkap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pembangunan LTSAAS ini akan memberi fokus pada pembangunan ekosistem aeroangkasa, penerbangan am dan penerbangan perniagaan (GA/BA) dan lapangan terbang bandar atau sekunder.

“Ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS membabitkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat penyelidikan dan pembangunan, operasi GA, operasi BA, mobiliti udara bandar (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau.

“Cadangan ini turut membabitkan pengenalan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet atau pesawat satu lorong sehingga A320/B737 atau yang seumpamanya dan kargo menggunakan pesawat jet di LTSAAS.

“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang perniagaan atau kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota,” katanya pada sidang media di LTSAAS di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Pada April 2021, MAHB pernah mengumumkan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun, dengan anggaran peruntukan sekitar RM1.3 bilion.

Pelan itu sepatutnya bermula awal tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027.

Ditanya sama ada SARP yang diluluskan secara dasar oleh Kerajaan Perpaduan itu berkaitan dengan pelan pembangunan semula LTSAAS bernilai RM1.3 bilion itu, Loke berkata, MAHB akan memutuskan perkara itu dalam perangkaan pelan perniagaannya.

Katanya, MAHB diberi tempoh sehingga April depan untuk merangka pelan pelaksanaan SARP itu, yang perlu dibentangkan semula kepada Kabinet untuk kelulusan.

“MAHB akan mengambil kira pandangan semua pihak dalam sesi libat urus dalam merangka pelan pembangunan ini, dan anggaran kos pembangunan semula LTSAAS akan diumumkan selepas pelan terperinci ini siap dibentangkan,” katanya.

Loke memaklumkan, SARP itu juga sudah dikaji sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan beberapa lapangan terbang bandar di bandar utama dunia seperti London sebagai rujukan.

Ditanya sama ada pembangunan semula LTSAAS akan menjejaskan KLIA, Loke menegaskan, SARP tidak akan menggantikan KLIA, sebaliknya menjadi pelengkap kepada lapangan terbang antarabangsa itu.

“Ketika KLIA dibangunkan, ada kajian mengatakan kita perlu memastikan jumlah penumpang KLIA mencecah 60 juta setahun sebelum LTSAAS boleh anggap sebagai lapangan terbang sekunder atau lapangan terbang bandar.

“Pada 2019, kita sudah melepasi angka itu di KLIA. Jadi pelan ini akan melengkapkan KLIA, bukan untuk menggantikan KLIA,” katanya.

Menjawab soalan sama, Iskandar memaklumkan pembangunan semula LTSAAS memberi kesan positif kepada KLIA kerana ia akan membantu mengurangkan kapasiti pesawat satu lorong di lapangan terbang antarabangsa itu.

“Jika dirancang secara pintar, kita boleh mengurangkan pesawat satu lorong yang merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan pesawat di KLIA ketika ini, dengan membawanya ke LTSAAS.

“Ini bagus untuk KLIA kerana akan wujud lebih banyak ruang untuk pesawat penerbangan jarak jauh menggunakan pesawat ‘wide body’ untuk datang ke KLIA,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts