fbpx

SPRM siasat pendedahan Laporan Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau berkata, SPRM sedang meneliti pendedahan LKAN itu.

“Kami memberi jaminan, jika ada isu selepas meneliti LKAS, kita akan buka.

“LKAN ini memang menjadi perhatian kita setiap kali ia diumumkan. Perlu diingat bahawa tugas kita ialah melihat soal pelakuan jenayah sesuatu perkara itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi dan pakar integriti menggesa supaya kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas di bawah SPRM bagi menangani isu ketirisan dan pembaziran dana awam, yang hampir setiap tahun didedahkan LKAN.

Mereka beranggapan, teguran Ketua Audit Negara seolah-olah dipandang ringan tanpa diambil sebagai panduan untuk penambahbaikan.

Terdahulu, LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan, yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

Antara yang didedahkan ialah kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta, yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan.

Kementerian dan jabatan terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan, manakala empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts