fbpx

Skim pencen bekas anggota ATM dinilai semula

Foto: Portal Rasmi Tentera TUDM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang menilai semula skim pencen bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara menyeluruh termasuk pemberian pencen hilang upaya, kebajikan dan pengurusan perkhidmatan kesihatan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata antara lain, kajian dan semakan semula itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk tangga gaji, keadaan hilang upaya dan tanggungannya.

“Kita jalankan kajian dengan semakan kepada penilaian itu bukan saja berdasarkan tangga gaji, tetapi turut melihat hilang upaya.

“Ini kerana ada sebahagian mereka yang hilang upaya ini langsung tidak dapat menguruskan diri. Sebab itu kementerian turut memberikan bantuan kepada individu yang menjaga veteran hilang upaya ini.

“Ia juga kita ambil kira sebagai antara faktor dalam membantu veteran ATM ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) sama ada Kementerian Pertahanan mempunyai perancangan melakukan penambahbaikan bagi kadar pemberian pencen hilang upaya yang ketika ini diberikan kepada anggota mengalami hilang upaya daripada darjah 20 hingga 100 peratus.

Mengulas lanjut, Adly berkata, isu berkaitan kebajikan veteran ATM tidak pernah diabaikan, misalnya bagi tujuan pengurusan kesihatan, sebanyak RM105 juta dibelanjakan setahun bagi perbelanjaan perubatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan di fasiliti kesihatan.

“Bagi pemberian pencen hilang upaya pula, kita melihat berdasarkan kadar hilang upaya, di antara satu peratus hingga 100 peratus.

“Biasanya bagi mereka yang hilang upaya di bawah 20 peratus, diberikan sumbangan ‘one-off’ (sekali bayar), bagi yang hilang upaya antara 20 peratus hingga 100 peratus pada anggota badan, kadar pencen semasa di antara RM112 hingga RM1,022,” katanya.

Adly berkata, kertas cadangan penambahbaikan berkenaan sedang diperhalusi dan akan dikemukakan kepada agensi pusat bagi mendapatkan persetujuan berhubung implikasi kewangan yang perlu ditanggung.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts