fbpx

Sistem akaun diceroboh, syarikat rugi RM1.9 juta

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat di Batu Pahat kerugian RM1.9 juta selepas sistem akaun syarikat itu diceroboh pihak tidak dikenali.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang wanita berusia 41 tahun membuat laporan kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada 28 Mac lalu.

“Wanita berkenaan yang merupakan akauntan syarikat itu mendakwa berlaku pencerobohan akaun syarikatnya sehingga berlaku pemindahan keluar wang syarikat kepada pihak-pihak yang tidak dikenali.

“Kejadian ini menyebabkan syarikat tersebut mendakwa kerugian RM1.9 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pihak syarikat telah menggunakan kaedah pembayaran secara ‘bulk payment’ dari sebuah bank tempatan untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal secara bulanan.

Melalui kaedah tersebut katanya, pihak syarikat akan mendaftarkan nama, nombor akaun syarikat pembekal dan jumlah pembayaran yang perlu dibuat dalam sistem berkenaan.

“Dengan itu pada setiap bulan syarikat akan memasukkan nilai bayaran sahaja tanpa mengubah apa-apa data pada nama syarikat penerima dan nombor akaun dan klik sistem tersebut untuk dihantar kepada pihak bank untuk pembayaran,” katanya.

Katanya, pada 27 Mac lalu, pengadu membuat semakan penerima pembayaran ‘bulk payment’ yang dibuat pada 24 Mac dan mendapati terdapat 10 transaksi pembayaran kepada 10 syarikat telah diubah kepada pihak lain yang tidak dikenali dan tidak mempunyai apa-apa urusan dengan syarikat.

“Pengadu percaya sistem ‘bulk payment’ syarikatnya telah diceroboh menyebabkan butiran penerima diubah kepada pihak lain,” ujar beliau.

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts