fbpx

‘Jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis memang tak boleh guna’ – JKR Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan tidak boleh menangguhkan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis, memandangkan kerja-kerja pembinaan sudah dilakukan.

Pengarahnya, Mohd Suhaili Ismail, berkata sekiranya laluan itu dibuka juga, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berhubung perkara ini. Ada cadangan daripada pihak polis supaya menangguhkan sementara untuk mengelak kesesakan di Gua Musang menjelang Aidilfitri.

“Namun saya sudah menjelaskan keadaan jalan di lokasi projek di mana pemasangan cerucuk sudah dilakukan dan keadaan jalan tidak memungkinkan kita membuka jalan.

“Justeru, menerusi perbincangan itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membuka jalan atau menangguh projek kerana ia boleh membahayakan pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan, polis Kelantan mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pihak dalam usaha menghentikan kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi Projek LTU di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis menjelang Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perbincangan tidak rasmi itu dilakukan dengan beberapa pihak berkaitan termasuk JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut Mohd Suhaili berkata, untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sempena Aidilfitri ini, pihaknya akan menjadikan laluan alternatif kepada satu hala selain menutup laluan simpang di jalan alternatif.

“Kita dapati laluan alternatif berlaku kesesakan memandangkan banyak simpang terutama menghala ke bandar Gua Musang. Justeru kita akan tutup laluan simpang dan menjadikannya laluan sehala.

“Dengan cara itu ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesesakan trafik pada Aidilfitri ini. Laluan simpang akan ditutup selama dua minggu iaitu seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas Aidilfitri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan perantau supaya merancang perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri kali ini dengan mengambil alternatif lain.

“Bagi perantau dari Lembah Klang boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau dari Perak boleh menggunakan laluan Lojing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts