fbpx

Angkut barang curi guna lori

Alor Setar: Geng Mizan yang dipercayai terbabit dengan 15 kes pecah rumah dan kedai di sekitar negeri ini, Perak dan Pulau Pinang akhirnya diberkas polis.

Tujuh suspek termasuk seorang wanita ditahan bermula 20 Mei lalu susulan kes pecah sebuah premis perniagaan di kawasan Bedong, Sungai Petani yang membabitkan kerugian kira-kira RM25,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun termasuk wanita disyaki teman wanita salah seorang penjenayah itu berjaya ditahan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang memburu tiga lagi suspek termasuk dalang dikenali sebagai Mizan berusia 43 tahun dan seorang lagi berusia 42 tahun.

“Kita sedang mengesan mereka termasuk seorang lagi yang belum dikenal pasti.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan mensasarkan rumah kosong di kawasan perumahan dan melakukan intipan berminggu-minggu sebelum melakukan pecah masuk.

“Selain itu, suspek turut masuk menggunakan cara mengumpul pintu kayu di belakang premis sebelum melarikan barangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan, dua plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine dan sebuah Proton Perdana bersama beberapa peralatan pecah rumah.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut melakukan rampasan sebuah peti besi yang disyaki hasil jenayah pecah Istana Hinggap di Taman Tunku Sarina, Jitra pada 26 Mei lalu.

“Dengan penahanan suspek ini, polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dan kedai yang aktif di utara semenanjung iaitu 13 di Kedah dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya.

Wan Hassan berkata, enam suspek lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita terbabit bebas dadah.

“Kerugian keseluruhan kes pecah rumah yang dilakukan mereka adalah lebih RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan itu licik dan mereka turut menggunakan lori untuk mengangkut barangan curi.

Menurutnya, di Istana Hinggap saja, kerugian dianggarkan hampir RM10,000 akibat kejadian itu.

“PDRM Kedah turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui talian MERS 999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Wan Hassan berkata, kesemua mereka direman sehingga 3 Jun ini untuk membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts