fbpx

Prestasi mendatar tidak resahkan Yew Sin-Ee Yi

Kuala Lumpur: Prestasi mendatar yang dipamerkan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sejak akhir-akhir ini tidak meresahkan gandingan profesional negara itu menjelang temasya Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 23 September sehingga 8 Oktober ini.

Sebaliknya bagi Yew Sin, ia adalah pasang surut seseorang atlet dan mereka berdua akan cuba bangkit semula di Hangzhou selepas meraih pengalaman berharga, terutamanya sepanjang tiga kejohanan terakhir.

Ee Yi-Yew Sin ditunjuk jalan keluar awal pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, kandas di suku akhir Terbuka China di tangan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta turut tersingkir awal di Terbuka Hong Kong.

“Sejak akhir-akhir ini keputusan memang tidak memihak kepada kami, tetapi kami sudah cuba lakukan yang terbaik. Kami juga tak boleh menjadikan kecederaan sebagai alasan kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan seorang atlet.

“Sudah tentu kami mahu berikan yang terbaik (di Sukan Asia) tidak kira sama ada sebelum ini anda beraksi baik atau teruk,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Pengalaman beraksi lima tahun lalu ketika di Jakarta-Palembang juga semakin mematangkan Ee Yi-Yew Sin dan dengan usia yang semakin meningkat, kedua-duanya berharap mampu menjelmakan kejayaan di Hangzhou.

“Lima tahun adalah tempoh yang agak lama, tetapi ada sedikit pengalaman yang kami peroleh dari situ. Mungkin kami boleh berkongsi pengalaman itu kepada mereka yang baharu pertama kali beraksi di Sukan Asia.

“Tidak kira sama ada umur anda 30, 20 (tahun), anda tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Jadi kami perlu manfaatkan setiap peluang yang kami peroleh,” katanya yang berusia 28 tahun.

Selain fokus kepada acara individu di Hangzhou, Ee Yi-Yew Sin yang menduduki ranking kelapan dunia juga menggalas tugas dalam acara berpasukan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts