fbpx

Wanita, teman lelaki mengaku salah abai anak tiga tahun hingga mati

SEREMBAN: Seorang wanita dan kekasihnya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya, bulan lalu.

Tertuduh, Noraini Haron, 42 dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli, telah mengabaikan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac lalu antara kira-kira jam 12 tengah hari hingga jam 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Noraini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak bekerja dan mempunyai tiga anak termasuk mangsa, manakala Mohd Khairul memaklumkan dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel serta menanggung enam anak serta ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan sebutan semula kes untuk laporan forensik pada 2 Mei depan.

Media pada 27 Mac lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson, pada 26 Mac bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews