fbpx

Hina nabi: Penganggur didenda RM10,000

KUALA LUMPUR: Seorang penggangur yang menghina Nabi Muhammad saw dan agama Islam, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 39, bagi setiap pertuduhan selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Zahrein menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda.

Mohd Zahrein selaku orang kena saman (OKS) kemudian membayar denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zahrein didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Semar Tilem’.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di UTC Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, di sini, jam 11 pagi, pada 8 Mei 2019.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, OKS dalam rayuannya menerusi peguam LA Gomes memohon dikenakan hukuman denda ringan dengan alasan sudah insaf, selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

“Mohon mahkamah mengambil kira tindakan OKS membuatkan kucar kacir dalam kalangan orang Islam, selain memohon OKS supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts