fbpx

Lelaki dikejar polis sejauh 70km kena penjara, denda

MARAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap seorang penganggur yang dikejar polis sejauh lebih 70 kilometer (km) Khamis lalu,

selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas penjawat awam.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda memerintahkan Mohamad Asyraf Haniff Ramlee, 25, dari FELDA Ulu Jempol di sini, dipenjara 24 bulan dan denda RM5,000 atau tambahan 10 bulan penjara jika gagal membayar denda, selain lesen memandu digantung dua tahun kerana memandu secara melulu serta berbahaya.

Bagi kesalahan menghalang tugas anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Koperal D Kalaiselvan, tertuduh dipenjarakan selama 20 bulan, manakala untuk kesalahan melanggar sebuah kereta akibat cuai, dia turut dihukum penjara tiga bulan.

Mohamad Asyraf yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 11 Mac lalu di jalan besar simpang lampu isyarat Plaza Tol Maran di sini, dengan hukuman penjara diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika cuba melarikan diri menggunakan kereta Honda Odyssey, selepas Kalaiselvan mengarahkannya berhenti di Jalan Tanah Putih, Kuantan kerana menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu, selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Bagaimanapun, tertuduh dikatakan enggan berhenti dan terus memecut ke arah Jalan Gambang-Kuantan, menyebabkan Kalaiselvan meminta bantuan IPD Kuantan yang kemudiannya menghantar kereta peronda (MPV), untuk mengejar kereta tertuduh yang menghala ke Maran.

Ketika itu, kereta tertuduh melanggar sebuah kereta Toyota dipandu seorang lelaki, selain turut membuat pusingan U secara berbahaya, selepas menyedari polis IPD Maran membuat penghalang di jalan utama ke plaza tol itu.

Tindakan tertuduh menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke tayar hadapan kiri kenderaan tertuduh, namun dia masih enggan berhenti dan terus melarikan diri ke arah Kuantan, dengan dikejar Kalaiselvan dan empat MPV polis.

Mohamad Asyraf akhirnya berjaya diberkas selepas keretanya terbabas berhampiran ladang kelapa sawit di FELDA New Zealand di sini.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara terhadapnya berjalan serentak, manakala Timbalan Pendakwa Raya Anasuha Atiqah Mat Saidi memohon hukuman setimpal diberikan.

Pada prosiding itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki methamphetamine seberat 0.21 gram pada masa dan tempat sama, dengan mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 26 April ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts