fbpx

Rombakan pegawai kanan PDRM bukan kerana ada kes

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Rombakan pegawai kanan polis secara besar-besaran baru-baru ini bertujuan memberi peluang kepada pegawai polis baharu untuk menggantikan tempat mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Pertukaran pegawai kanan yang berlaku bukan kerana ada kes-kes tertentu dan sebagainya, ia kena letak orang baharu dan berkemungkinan pegawai kanan polis yang sebelum ini lama berkhidmat atau tidak naik pangkat, perlu ditukarkan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini kerana terdapat pegawai kanan polis yang lama menetap, bertugas dan memegang sesuatu jawatan polis, di satu-satu tempat.

Sebelum ini, PDRM ada mengeluarkan kenyataan seramai 71 pegawai kanan PDRM terbabit dalam pertukaran jawatan, berkuatkuasa 12 April ini.

Antara mereka yang terbabit dengan pertukaran itu adalah Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin dilantik sebagai Timbalan Pengarah, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Mengulas mengenai siasatan perkembangan kes ‘macau scam” Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima segala kenyataan dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya serahkan siasatan kes ini kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menjalankan siasatan yang mengambil masa antara sebulan hingga ke dua bulan.

“Ketika JIPS beri saya hasil laporan siasatan, saya mendapati seramai 31 pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam kes ini, maka apabila diteliti ia amat serius sekali,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kuasa untuk menentukan hukuman kepada pegawai dan anggota polis yang terbabit dengan masalah tatatertib ditentukan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

SPP dianggotai lapan individu antaranya Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, wakil Institusi Kehakiman dan wakil pesara-pesara polis.

“Biarlah hukuman kes ini ditentukan oleh SPP, yang mana SPP akan berbincang sama ada untuk buang kerja, menurunkan pangkat, didenda atau memaafkan pegawai atau anggota polis terbabit masalah tatatertib,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner disiasat, bagi kes penipuan ‘macau scam’ dan judi dalam talian membabitkan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna.

Semua individu itu disiasat secara menyeluruh, terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts