fbpx

Zii Jia mampu tumbangkan Momota

Foto: Malay Mail

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya bukan mustahil buat Lee Zii Jia menumbangkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota sekiranya mereka ditakdirkan bertemu pada saingan Seluruh England di Birmingham yang bermula Rabu ini.

Kedua-dua pemain berkenaan dijangka membuat perhitungan sekiranya masing-masing layak ke peringkat suku akhir.

Rashid yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan percaya Momota akan bergelut kembali mendapatkan rentak permainan sebenarnya memandangkan Seluruh England adalah kejohanan antarabangsa pertama buat bintang sensasi Jepun itu selepas lebih setahun tidak beraksi dalam saingan kompetitif.

“Jadi, Zii Jia perlu memanfaatkan peluang ini sebaiknya. Berbanding Momota, Zii Jia sudah beraksi dalam beberapa kejohanan sebelum Seluruh England…jadi, dia sepatutnya lebih bersedia untuk berdepan Momota.

“Saya akui Momota adalah pemain yang berada pada kelas yang tersendiri dan orang akan cakap dia mungkin tidak terkesan sangat biarpun sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif. Namun, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan Zii Jia perlu manfaatkan sepenuhnya kelebihan ini.

“Kalau Zii Jia kalah sekalipun, biarlah kalah dengan dia menunjukkan semangat juang tinggi, komitmen dan kesungguhan yang sebenar, bukan kalah mudah. Peminat pun akan faham kerana dia sudah menunjukkan apa yang sepatutnya sebagai perseorangan lelaki nombor satu negara,” katanya.

Tampil sebagai pilihan keenam, Zii Jia akan membuka tirai kempen Seluruh England menentang Brian Yang dari Kanada manakala Momota yang muncul juara edisi 2019 bakal bertemu pemain India, P Kashyap pada pusingan pertama.

Zii Jia ketika ini masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dengan dia dikritik hebat selepas prestasi hambar pada tiga kejohanan di Thailand, Januari lalu dan sekadar melangkah sehingga separuh akhir Terbuka Switzerland, minggu lalu biarpun hadir sebagai pilihan kedua kejohanan di Basel itu.

Saingan Seluruh England kali ini akan menjadi kejohanan pertama buat Momota sejak terbabit dengan kemalangan jalan raya selepas tamat saingan Masters Malaysia, Januari tahun lalu.

Dia pada awalnya dijadual membuat kemunculan semula pada Terbuka Thailand, Januari lalu tetapi terpaksa menarik diri selepas diuji positif COVID-19.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts